Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24.com) - Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menangkap 4 individu termasuk warga Iran yang dipercayai terbabit dalam penyebaran buku ajaran bukan Islam di Taman Kebaya Paya Datok, Alor Gajah, kelmarin.
Ketua penguatkuasa Jabatan Agama Islam Negeri, Rahimin Bani berkata, tiga lelaki dan perempuan berusia antara 20 hingga 43 tahun telah ditahan pada pukul 4:30 petang.
Menurut beliau lagi, siasatan awal mendapati suspek telah dilatih sebagai penceramah di sebuah pusat penjagaan kesihatan di Tampin, Negeri Sembilan dan bekerja dalam kumpulan untuk menyebarkan ajaran bukan Islam.
"Kita menjumpai 40 buku berkaitan dakyah ajaran bukan Islam dalam tiga bahasa termasuk bahasa Malaysia yang menggunakan kalimah ALLAH dalam kereta yang dinaiki keempat-empat individu itu," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, buku bertajuk 'Pengharapan Agung' itu dikhuatiri akan memesongkan akidah umat Islam terutama mereka yang tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh khususnya dalam kalangan remaja.
Semua mereka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 dan 8, Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam kepada Orang Islam 1988. - Bernama